Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Leverage : Presiden FAM, berundurlah


SAYA mengambil masa yang agak lama kali ini untuk menulis tentang senario terkini melibatkan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, yang dituduh telah melanggar peraturan FAM.

Kenyataan Presiden FAM yang diterbitkan oleh BERNAMA buat saya tertanya-tanya bagaimana pendekatan integriti diamalkan oleh badan bola sepak induk negara itu. 


Presiden FAM, dengan secara terbuka telah menyatakan "pendapat" baginda bahawa Tan Sri Annuar Musa telah melakukan kesalahan yang amat besar. 

Merujuk kepada dua pertuduhan yang dikenakan kepada Tan Sri Annuar Musa, Presiden FAM, ketika sidang media menyifatkan tindakan Timbalan Presiden tersebut sebagai "bodoh", jelas menyalahi peraturan persatuan dan patut dikenakan tindakan.

Tanpa mempersoalkan pertuduhan yang dikenakan ke atas Tan Sri Annuar Musa (walaupun masih banyak yang boleh dipersoalkan), saya berasa sedikit janggal apabila kenyataan Presiden FAM tersebut diterbitkan  oleh media.

You are GUILTY unless you prove yourself to be otherwise.


Presiden FAM, sebagai "orang lama" di dalam persatuan, sepatutnya "lebih arif" untuk tidak mengulas perkara yang sekarang di dalam kuasa Jawatankuasa Tatatertib FAM, sebuah jawatankuasa yang dikatakan terdiri daripada mereka yang "berkecuali". 

Tindakan Presiden FAM membuat kenyataan seperti yang diterbitkan oleh media arus perdana bertarikh 29 Mac 2012, ternyata suatu tindakan yang dilihat secara terang, cuba mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM, di mana baginda sendiri tidak ada kuasa di dalamnya.


Malang sungguh bagi seorang Presiden yang telah lama memimpin dengan "cemerlang" badan induk bola sepak negara ini tidak bijaksana apabila bertitah (merujuk kepada laporan media berkenaan). Sepatutnya, pada pendapat saya, Presiden FAM menggunakan pendekatan berkecuali apabila ditanya tentang sesuatu kes yang "dalam perbicaraan mahkamah".

Kertas pertuduhan telah disiapkan pleh Jawataknkuasa Tataterib FAM dan telah diserahkan kepada Orang Kena Tuduh (OKT). OKT pula telah menjawab pertuduhan terhadap beliau, dengan menyertakan dokumen pembelaan diri, seperti yang disyaratkan dalam surat pertuduhan berkenaan. Sesi pendengaran pula telah ditetapkan pada 4 April 2012 (tarikh pasukan bola sepak bimbingan OKT bertemu dalam saingan penting AFC).

Semuanya telah dibuat mengikut prosidur dan masing-masing menunggu 4 April 2012 bagi kertas pertuduhan dibaca dan pembelaan dibuat.

Malangnya secara tiba-tiba, Presiden FAM telah mendahului, sama ada secara sedar atau tidak, "jatuh hukum" melalui titah seperti laporan media. Tidak salah saya katakan, titah tersebut akan sedikit sebanyak mempengaruhi "keputusan penghakiman".

Saya ucap syabas kepada Presiden FAM yang "tahu" hal semasa walaupun berada di luar negara sewaktu perkara ini berlaku.

Apa yang telah Presiden FAM dengar? Siapa dan bagaimana taklimat berkenaan hal ini disampaikan kepada Presiden? Adalah Presiden menjawab pertanyaan media berdasarkan apa yang dilaporkan media? Atau SU Agong telah secara terperinci memaklumkan senario yang melibatkan Tan Sri Annua Musa? Adakah Presiden FAM juga dimaklumkan tentang kes-kes yang "terlepas", termasuk yang melibatkan SU Agong sendiri?

Apabila ramai pencinta sukan bola sepak tanah air menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap FAM dan kepada Presiden FAM, saya mengambil pendekatan berkecuali. 

Tetapi sesudah membaca laporan media dan berfikiran semalaman sebelum menulis, saya tidak teragak-agak untuk mengatakan, Presiden FAM telah hilang kredibiliti untuk memimpin badan bola sepak negara, dan wajar untuk baginda mengundurkan diri.
Transformasi persatuan WAJIB dijalankan dengan segera. Dasar integriti yang dipelopori FAM melalui orang yang kena tuduh, Tan Sri Annuar Musa, WAJIB dilaksanakan. Mereka di dalam persatuan yang berkepentingan peribadi dan tidak menyumbang kepada keutuhan persatuan dan pembangunan bola sepak negara WAJIB disingkirkan.

Saya secara terbuka memberi sokongan kepada Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa. Beliau pernah berkongsi kata sewaktu dicalon sebagai Tmbalan Presiden ketika Kongres FAM sebelum ini,

"Di Kelatan, saya boleh melakukan sesuatu mengikut citarasa saya, mengikut keperluan persatuan, kerana saya adalah Presiden KAFA. Tapi, di FAM, jika dilantik, saya cuma seorang Timbalan Presiden yang menjalankan tugas berpandukan apa yang dipersetujui dalam mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif dan apa yang dititah Presiden".



Tidak mampu untuk buat, tapi menghalang orang lain untuk buat. Satu tindakan hipkorit yang teramat bodoh.


Presiden FAM bercita-cita tinggi berhasrat membangunkan sukan bola sepak di peringkat Asean.

Nasihat saya, insan kerdil seperti Hang Nadim, perbetulkan apa yang ada dalam negara, bangunkan apa yang kita punya, insya Allah, akar yang sihat akan menerbitkan dahan yang tegap, daun yang hijau, buah yang enak, bunga yang berwarna-warni dan berbau harum.

Presiden FAM, berundurlah.

- Amierul Hisham -






Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015