Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Hamidan isytihar penyokong setia Kedah



ALOR SETAR - Ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana anak dara di negeri ini. Pemain import Kedah yang baru digugurkan, Hamidan Mohammed bagaimanapun bertekad akan kembali semula ke Jelapang Padi untuk memburu cinta - bukan cinta anak dara - tetapi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya akan kembali,” kata Hamidan kepada Sinar Harian, petang semalam.

Menurutnya, walaupun tidak sampai dua bulan berada di negeri ini, dia sudah jatuh cinta kepada Kedah dan cara hidup rakyatnya.

Demi cinta itu, Hamidan bertekad mahu kembali dan dia sedar, untuk mendapatkan ruang itu, “saya perlu memperbaiki taraf permainan untuk mendapat perhatian dan memikat hati KFA.”

“Tidak. Saya tak kecil hati. Saya memahami keadaan dan keputusan menggugurkan saya dibuat secara profesional. Saya juga perlu menerimanya secara profesional,” katanya ketika ditanya mengenai penerimaannya terhadap keputusan itu.

Hamidan yang berasal dari Wa, Ghana dan akan berusia 23 tahun pada 23 Mei ini, mengikut jadual, akan meninggalkan bumi Sang Kenari untuk kembali ke tempat asalnya esok (17 April).

Kedah adalah pasukan luar Ghana yang pertama disertainya. Dia lulus ujian bersama seorang lagi pemain import, Abdelfattah Safi dari Perancis pada Februari lalu.

Namun kegagalannya menjaringkan sebarang gol dalam tujuh penampilan awal, membuka ruang untuk keupayaannya sebagai penyerang skuad pelapis Ghana dipertikaikan, bukan sahaja oleh jurulatih, Wan Jamak malahan juga sekalian penyokong Hijau Kuning.

Bagaimanapun minit ke-65 pertemuan suku akhir kedua Piala FA dengan T-Team pada 27 Februari lalu menguak tabir dramatik dalam hidup seorang pemain bola sepak bernama Hamidan.

Dalam keadaan berdepan dengan tekanan setelah diberi kata dua oleh Wan Jamak, sama ada berubah ataupun bersedia untuk digugurkan, dia menjaringkan dua gol untuk Kedah membenam skuad Penyu Muda itu, 2-1 sekali gus layak ke separuh akhir Piala FA 2012.

“Itulah detik paling bermakna dalam hidup saya,” kata Hamidan ketika diimbau kenangan itu.

Tidak cukup dengan itu, selang tiga hari kemudian, Hamidan ‘mengamuk’ lagi dengan menjaringkan dua daripada tiga gol untuk Kedah mengatasi Perak 3-0 dalam pertembungan Liga Super, sekali gus mendorong dia dijulang sebagai wira pasukan.

Namun sudah takdir. Hamidan barang kali terlalu lewat bangkit tatkala pihak pengurusan KFA sudah pun membuat keputusan untuk menguji pemain lain menggantikannya. Pemain dari Crotia, Vedran Gerc ternyata lebih memikat hati Wan Jamak berbanding Hamidan.

Sesuatu yang tidak boleh dielak dalam bola sepak, kualiti sebenar seseorang pemain perlu dinilai secara berterusan dan keseluruhan, bukan dalam hanya satu atau dua perlawanan.

Meskipun Hamidan menjaringkan dua gol dalam dua penampilan berturut-turut - yang sememangnya sangat bermakna dan signifikan bagi pasukan - itu bukan petunjuk yang dimahukan. Banyak aspek lain yang dinilai untuk melayakkan seseorang pemain mencapai taraf profesional.

Namun itu bukan dosa bagi Hamidan sebaliknya dia perlu jadikan iktibar, apa lagi dalam usianya yang masih sangat muda.

“Saya tahu dan saya akan belajar. Nanti saya akan datang semula. Banyak perkara yang bagus di sini. Saya juga boleh amalkan Islam dengan selesa. Ini semua akan jadi motivasi dan kenangan terindah bagi saya,” katanya.

Hamidan mengakui, dia sememangnya tersentuh dengan ‘kasih sayang’ penyokong Kedah terhadapnya mutakhir ini namun apa kan daya “jodoh saya tidak panjang dengan Kedah.”

Dia yang dalam satu kenyataan pernah mengakui sering menghubungi ibunya, Munirah Idris di Ghana untuk meluahkan perasaan ketika sangat tertekan menghadapi situasi tidak menentu bersama pasukan, berkata, ada beberapa pasukan di Asia

Tenggara yang sudah merisik khabarnya.

“Saya belum buat keputusan. Saya akan pulang dulu ke Ghana, tenangkan diri. Walaupun tidak berjaya sebagai pemain, saya tetap penyokong setia pasukan Kedah,” katanya.

Kepada Hamidan, Sinar Harian mengucapkan selamat maju jaya. Budi dan jasa jadi kenangan!

Oleh: Sinar Harian
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015