Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Kedudukan Devan makin goyah



JODOH K Devan bersama Johor FC tampak tidak berpanjangan dan bakal berpisah dan nama jurulatih Piala Presiden, Sazali Saidun mula bermain di bibir pengurusan kelab itu untuk mengambil alih tugas selaku pengendali skuad yang bergelar Lebah bagi mengharungi kempen pusingan kedua saingan Liga Super.

Devan yang pada awalnya dilihat memiliki sentuhan magis jelas tidak mampu membimbing skuad Lebah yang kini berada dalam keadaan nazak selepas terperosok di kelompok bawahan liga elit domestik dan paling ketara masih buntu meraih kemenangan pertama di laman sendiri sepanjang kempen pusingan pertama apabila Johor FC sekadar seri 1-1 dengan Selangor di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.

Apapun Setiausaha Kehormat Johor FC, Mohd Tahir Hamdan berkata pengurusan skuad Lebah masih bersikap mahu berdiplomasi dengan Devan apabila memberi ruang buat bekas pengendali Selangor itu untuk mengharungi perlawanan menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam esok.

“Belum ada sebarang kata putus lagi berhubung status Devan selaku jurulatih Johor FC sama ada dikekalkan atau sebaliknya. Tapi jika dilihat kepada prestasi semasa Johor FC yang kini berada di kelompok bawahan kemungkinan ada angin perubahan bagi mengembalikan prestasi terbaik skuad ini.

“Keputusan akan ditentukan dalam tempoh terdekat dan semuanya bergantung kepada kehendak pengurusan tertinggi kelab. Apapun jika perubahan bakal berlaku semuanya akan dilaksanakan pada tempoh rehat selama tiga minggu nanti.

“Kami tidak mahu terlalu cepat melatah biarlah ibarat menarik rambut dari tepung, tepung tidak berselerak dan rambut tidak putus kerana selaku kelab profesional kami perlu berbincang dan kenal pasti apa yang harus dibuat demi meningkatkan kembali prestasi Johor FC,” kata Mohd Tahir.

Sementara itu, Naib Presiden Kelab Penyokong Johor FC, Azman Jalil berharap pengurusan kelab itu mengetepikan Devan yang dianggap gagal untuk membimbing skuad Lebah sebaliknya mencari jurulatih baru yang mampu membimbing pasukan itu keluar dari kelompok bawahan liga.

“Penyokong tidak boleh terima kedudukan Johor FC yang kini menghuni kelompok bawahan liga. Ia prestasi terburuk sepanjang pembabitan Johor FC dalam kancah Liga Super dan saya harap perlu ada angin perubahan segera demi menyelamatkan skuad itu,” kata Azman.

Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my 
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015