Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Mat Zan lega



WAJAH jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang sebelum ini berkerut dan tampak berkecamuk kini kembali ceria apabila anak buahnya berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di laman sendiri malam kelmarin dalam perlawanan penutup tirai pusingan pertama.

Namun, kemenangan itu sedikit menyentak pengendali berusia 54 tahun itu apabila bekas pengendali Terengganu 2009, Ken Worden dilihat berada di stadium menyaksikan perlawanan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada khidmat Mat Zan akan ditamatkan ataupun terus membimbing skuad Terengganu.

“Saya mengetahui kelibat bekas pengendali Terengganu itu berada di stadium menyaksikan perlawanan malam ini (kelmarin) tapi saya tidak tahu sama ada jurulatih itu bakal menggantikan saya kerana persatuan tidak memaklumkan apa-apa. Jika khidmat saya ditamatkan, saya sudah bersedia dan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Mat Zan yang sebelum ini mengalami sedikit tekanan berikutan bantahan penyokong yang memintanya meletak jawatan menyatakan beliau hanya merancang dan mengatur strategi ketika perlawanan namun pada masa sama tetap bersedia melepaskan tugasnya bila-bila masa biarpun kancah Liga M memasuki pertengahan musim.

“Jika saya diminta melepaskan jawatan ini dan digantikan dengan Worden, saya akan akur dan sedia undur diri untuk memberi laluan kepada pengendali itu tapi di kalbu saya berasa masih berminat melatih Terengganu walaupun penyokong mahu saya berundur,” katanya.

Selain itu, menurut Mat Zan, beliau sudah melakukan yang terbaik buat Terengganu untuk membawa pasukan itu memenangi setiap perlawanan namun masalah beberapa pemain tonggak yang cedera agak lama menyebabkan beliau terpaksa akur dengan situasi itu.

“Jika berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan terkini diambil kira, Terengganu bukanlah sebuah pasukan yang teruk, kami layak ke separuh akhir Piala FA, selain itu kami juga masih berada di tangga ketiga liga dan kedua dalam Kumpulan F Piala AFC, jika rekod ini diperhatikan, Terengganu masih lagi antara pasukan yang terkuat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menafikan kehadiran Worden malam kelmarin sebagai proses awal pertukaran ketua jurulatih Terengganu.

Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015