Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Ghaddar hilang tanpa berita


KETIADAAN kelibat penyerang import Kelantan, Mohammad Ghaddar ketika sesi latihan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia mula mencetuskan kegusaran dalam kalangan peminat setia The Red Warriors.

Penyerang kelahiran Lebanon itu dikatakan gagal melaporkan diri pada 5 Ogos lalu bagi menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia yang bakal bermula 22 Ogos ini.

Difahamkan, ketiadaan penjaring terbanyak The Red Warriors dalam saingan Liga Super itu sedikit sebanyak relah merencatkan perancangan jurulatih, Bojan Hodak bagi membentuk pasukan yang ampuh.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan bahawa Ghaddar masih belum melaporkan diri seperti dijanjikan selepas aksi persahabatan menentang Queens Park Rangers (QPR) pada 20 Julai lalu.

Katanya, Ghaddar sepatutnya melaporkan diri pada tarikh tersebut dan segala usaha telah dilakukan termasuk menghubunginya tetapi gagal.

“Kami turut menghubungi Ghaddar melalui ejennya, namun menemui jalan buntu. Buat masa ini, kami mengambil pendekatan tunggu.

“Secara jujur, kami masih menantikan maklum balas daripada Ghaddar sama ada menerusi telefon atau e-mel. Mana tahu mungkin beliau ada masalah yang perlu diselesaikan di Lubnan ketika ini,” ujar Azman kepada Kosmo! semalam.

Azman yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, Ghaddar bakal berdepan hukuman daripada persatuan sekiranya gagal mengemukakan alasan kukuh mengenai perkara itu.

Katanya, tindakan pemain tersebut boleh dikira sebagai ponteng daripada menjalani latihan.

“Sama seperti pemain lain, dia juga tidak terkecuali berdepan hukuman seperti pemotongan gaji daripada pihak KAFA sekiranya didapati bersalah. Itu sudah termaktub dalam perjanjian kontrak antara kami dengannya.

“Selain Ghaddar, seorang lagi awang import, Nwaneri Obinna masih belum melaporkan diri. Bagaimanapun, dia dilaporkan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Obinna diberi cuti panjang sedikit bagi membolehkan dia menyelesaikan urusan di Switzerland. Saya percaya dia tidak menghadapi masalah untuk kembali bersama Kelantan selepas ini,” ujarnya.

Ketiadaan dua tonggak import itu menyaksikan Mijo Dadic dari Croatia dan bekas penggempur Perak, Keita Mandjou menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan lain sejak 1 Ogos lalu.

Pada kempen Piala Malaysia musim ini, Kelantan diundi dalam Kumpulan B bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Kedah.

YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

.
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015