Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Chelsea janji persembahan terbaik


KELAB gergasi England, Chelsea menjanjikan persembahan terbaik serta menghiburkan pada aksi persahabatan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Shah Alam Ahad ini.

Perkara itu ditegaskan oleh pengurus Chelsea, Jose Mourinho pada sidang akhbar sejurus skuad The Blues tiba di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut ialah Pengarah Urusan ProEvents Sdn. Bhd., San Boon Wah, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat peminat-peminat di rantau ini yang sentiasa menyokong kami dan saya berjanji akan menurunkan barisan terkuat pada aksi menentang Malaysia nanti.

“Peminat-peminat di Malaysia sudah terlalu lama menanti kehadiran kami dan tiada alasan untuk kami bermain sambil lewa dan hanya menurunkan pasukan pelapis.

“Bagi pasukan Malaysia, saya percaya mereka juga akan menampilkan aksi terbaik dan itu jugalah harapan saya kerana misi kami pada perlawanan itu nanti adalah untuk menghiburkan peminat di sini,” kata Mourinho.

Mourinho berkata, beliau berasa amat gembira apabila berpeluang kembali membimbing Chelsea, sambil menganggap Stamford Bridge sebagai rumah keduanya.

“Saya juga gembira dapat bersama-sama pemain dalam Jelajah Asia tahun ini kerana ia sangat baik untuk persiapan pasukan menjelang musim baharu Liga Perdana England pada pertengahan bulan depan,” jelas bekas pengendali Real Madrid itu.

Sementara itu, perancang Chelsea, Michael Essien mengakui sangat serasi berada di bawah bimbingan Mourinho.

“Mungkin saya selesa dengannya, sebab itu saya sentiasa bersamanya.

“Namun, itu tidak bermakna ia satu keselesaan buat saya kerana saya tetap dilayan sama adil dengan pemain-pemain lain,” kata Essien yang kembali ke Chelsea dari Real Madrid musim ini.

Selepas Mourinho meninggalkan Stamford Bridge pada 2008, Essien pula dipinjamkan ke Real Madrid bagi musim 2012/2013.

Kini, apabila Mourinho meninggalkan Real untuk kembali membimbing Chelsea, Essein turut mengikut jejak langkah pengendali kelahiran Portugal itu.

Pada awal sidang akhbar semalam, Mourinho secara berseloroh memperkenalkan Essien kepada pihak media sebagai ‘anaknya’.

Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, anak-anak buahnya sudah bersedia berentap dengan salah satu kelab terbaik di Eropah itu.

“Kami akan turun dengan barisan terbaik dan akan memberi tentangan sengit kepada Chelsea.

“Apa yang penting saya mahu mereka mempersembahkan permainan terhebat serta yakin kepada diri sendiri,” kata Rajagobal.

KOSMO
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015