Berita Terkini :

LATEST UPDATES

FAM gantung 17 pengadil Liga M


IMBAS... Kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa (tiga dari kiri) mempertikai keputusan
pengadil perlawanan, Kamal Ahmad (dua dari kanan) yang mengadili aksi Liga Super
antara Perak dan Lions XII di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu. - gambar hiasan
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menggantung 17 pengadil perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang didapati tidak menepati piawaian serta kriteria yang telah ditetapkan oleh badan induk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz memberitahu, FAM telah mengambil tindakan tersebut hasil daripada laporan penilaian pengadil sejak Januari sehingga Jun lalu.

Jelas Astaman, hukuman tersebut dibuat selepas mengambil kira laporan daripada pegawai penilai yang mendapati beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil terbabit terlalu mengikut emosi.

Jelasnya, kesemua individu yang digantung itu tidak akan dibenarkan mengendali sebarang perlawanan dalam saingan Liga Super musim depan sehingga tempoh pengantungan mereka berakhir.

"Berdasarkan 714 perlawanan yang berlangsung musim ini, FAM menerima lima aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Lima aduan itu adalah dari Johor (dua aduan) dan satu aduan masing-masing dari Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu.

"Hasil siasatan daripada aduan tersebut, kami telah menggantung empat pengadil manakala 13 lagi digantung berdasarkan laporan pegawai penilai sejak Januari sehingga Jun lalu," kata Astaman kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini , Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui kesal dengan mutu pengadilan Liga M yang dianggap berada pada tahap membimbangkan.

Selain PBNJ, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut dilapor mengemukakan laporan rasmi mengenai mutu pengadilan kepada FAM.

Perak tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil selepas seri 1-1 dengan Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu.

Terengganu pula mempertikaikan kredibiliti pengadil selepas melayangkan dua kad merah kepada Abdul Manaf Mamat dan Emmanuel Effa Owona pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu 28 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Astaman memberitahu, undang-undang pengisytiharan harta kepada pengadil tidak melibatkan ahli keluarga mereka .

"Undang-undang itu hanya berkuatkuasa kepada pengadil tanpa melibatkan ahli kelaurga mereka.

"Ia disebabkan kebanyakan mereka hanya menjadi pengadil sambilan dan kemungkinan besar mereka sudah terikat dengan undang-undang itu dengan pekerjaan tetap," katanya.

AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015