Berita Terkini :

LATEST UPDATES

FAM pinda jadual Piala Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan untuk meminda jadual saingan Piala Malaysia musim ini daripada 17 Ogos kepada 20 Ogos.

Ini diumumkan oleh Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Affandi Hamzah pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-8 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Affandi berkata, pindaan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pasukan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan beraksi pada Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 12 hingga 13 Ogos depan.

Menurut Affandi, dalam perlawanan itu, Kelantan akan bertemu dengan Juara Piala FA Singapura, Tampines Rovers manakala ATM akan menentang Juara Piala Singapura, Warriors FC.

"Bila membuat semakan semula, kami mendapati jarak antara kejohanan itu dengan Piala Malaysia terlalu dekat, jadi kami ingin memberi kepada kedua-dua pasukan itu mempunyai rehat yang cukup dan mampu membuat persiapan untuk mengharungi saingan Piala Malaysia 20 Ogos nanti.

"Lagipun, pemain yang terlibat dengan kebangsaan juga akan selesai latihan pada 10 ogos selepas terlibat dengan perlawanan menentang Barcelona.

"Jadi, kami memutuskan untuk meminda jadual ini agar memberi ruang kepada semua pasukan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Affandi turut memberitahu bahawa pihak jawatankuasa pertandingan tempatan telah merangka kalendar 2014 bagi memastikan perjalanan Liga Malaysia musim depan berjalan dengan lancar.

"Seperti biasa, kalendar Liga Malaysia akan bermula Januari dan tamat pada akhir Oktober.

"Tapi kalendar tahun depan tidak sama dengan tahun ini memandangkan jadual untuk skuad kebangsaan tidak banyak. Maka kami mempunyai masa yang agak banyak untuk atur jadual perlawanan bagi tidak memberi tekanan kepada semua pasukan.

"Kita juga tahu dua pasukan wakil Malaysia, Kelantan dan Selangor layak beraksi dalam Kejohanan Piala Konfenderasi (AFC), jadi kita juga harus membuat jadual agar membolehkan kedua pasukan ini mempunyai kelegaan untuk mengharungi perlawanan tersebut," jelas beliau.

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
SINAR HARIAN
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015