Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui keputusan seri tanpa jaringan Harimau Malaya dengan kelab Thailand, Chonburi dalam perlawanan persahabatan kelmarin, bukanlah yang sepatutnya dicapai namun menjanjikan perubahan mendadak apabila menghadapi Chelsea, 21 Julai ini.
Beliau turut menganggap ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah cuba memberikan peluang kepada beberapa pemain yang dipanggil menyertai pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, biarpun hanya dengan menentang kelab pelawat yang didapati tidak menurunkan ramai tonggak mereka.
"Namun menentang Chelsea satu perlawanan yang lebih penting dan kami cuba pastikan pemain berikan persembahan terbaik kerana peminat turut akan bersama meneliti aksi mereka. Saya juga yakin Chelsea yang walaupun masih dalam pramusim liga mereka, pasti berikan persembahan yang terbaik.
"Jadi tiada sebab lagi untuk pemain kita tidak menampilkan mutu permainan yang mempunyai pembaharuan atau mencapai keputusan yang membanggakan. Walaupun bukanlah kemenangan yang kita cari, persembahan terbaik akan tetap menjadi KPI (penunjuk utama prestasi) atau penanda aras pasukan kita," katanya.
Dalam perlawanan yang cuma disaksikan 200 penyokong setia Harimau Malaya kelmarin, barisan bimbingan Rajagobal didapati ketandusan idea untuk menjana serangan mahupun mencipta peluang jaringan gara-gara ketiadaan gandingan utama di depan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Mohd. Sali.
Aksi longlai gandingan pengganti mereka yang turut diuji seperti Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub sebaliknya sempat ditampung dengan persefahaman mantap dan berdisiplin benteng negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk menafikan percubaan gol pelawat.
UTUSAN MALAYSIA
0 comments :
Post a Comment
TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.