Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Kaedah baharu kawal penonton ke stadium


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menggunakan dua cara baharu dalam menguruskan kemasukan penonton dari sudut keselamatan khususnya bagi perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia dengan mengadakan pusat pemeriksaan rapi di pintu stadium dan menjual tiket secara terus di negeri-negeri terlibat.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, persatuan akan mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan lain sebagai langkah memperbaiki atau mengelakkan insiden limpahan penonton atau balingan objek berbahaya seperti perlawanan separuh akhir Piala FA di Kuantan, Mei lalu.

"Bagi jualan tiket, disebabkan sebelum ini kami dapati persatuan bola sepak negeri tidak melaksanakan apa yang FAM harapkan jadi kali ini kami cuba bahagikan tiket yang diperuntukkan kepada persatuan negeri dan sebahagiannya, kami yang bertanggungjawab menjual terus kepada peminat di negeri dan stadium berkenaan.

"FAM mahu supaya pembahagian tiket itu dibuat secara adil kerana apabila kebanyakan persatuan negeri menjualnya secara pukal, ada peminat yang sukar mendapatkannya," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.

Mengenai penswastaan Liga Malaysia yang dijangkakan pada 2015, kata Tengku Abdullah, beliau menjangkakan FAM dapat merumuskan pendekatan baharunya dalam tempoh setahun selepas mengkaji kesan baik dan buruknya selain soal kontrak penajaan dengan stesen TV satelit, Astro.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut menyeru semua pihak dalam sukan itu memberikan sokongan dan bantuan kepada Paul Revington yang bersetuju Isnin lalu untuk meneruskan khidmatnya sebagai ketua jurulatih skuad negara walaupun pernah menyatakan mahu meletak jawatan, bulan lalu.

"Tiada masalah atau apa-apa syarat dikenakan kepadanya kerana kami bersetuju untuk dia teruskan dan tentukan pasukan kita dapat peluang beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia (di The Hague, tahun depan). Dia sudah sanggup untuk teruskan dan marilah kita melupakan yang lepas dan kekalkan tumpuan.

"Sudah tentu dia mempunyai keyakinan kepada pasukan kita dan dia tahu apakah tekanan jika dia membuat keputusan sebaliknya. Kita juga sudah kesuntukan masa namun perancangan kita sekarang ialah pastikan pasukan kita berjaya di Ipoh (dengan bergelar juara Piala Asia dari 24 Ogos hingga 1 September)," katanya.

UTUSAN MALAYSIA
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015