Pembaharuan yang bakal dilaksanakan oleh FAM bermula musim 2015, ke arah menswastakan pengurusan Liga, telah dilaksanakan oleh Jepun 20 tahun lalu, apabila mereka mula meperkenalkan J-League.
Pendekatan mereka, Liga hendaklah berkualiti dan disertai oleh pasukan-pasukan yang berkualiti. Ini dilihat akan secara langsung meningkatkan mutu sukan bola sepak secara keseluruhan di negeri matahari terbit itu dan mampu menjana kewangan yang utuh melalui pelbagai penajaan yang lebih memberangsankan, bukan saja kepada Liga, tetapi juga kepada pasukan yang bertanding di dalam Liga berkenaan.
Jepun melaksanakan Visi 100 tahun untuk menjadi persatuan bola sepak yang profesional sepenuhnya menjelang 2092. Mereka memperhebatkan promosi sukan bola sepak dan berusaha mendapatkan lebih banyak penajaan.
Infrastruktur J-League diselaras semula mulai 1999 dengan membahagikannya kepada dua bahagian, Liga Divisyen Satu dan Liga Divisyen Dua, dengan penyertaan terpilih untuk setiap divisyen.
Tidak hairanlah jika mereka layak mengelolakan Kejohanan Piala Dunia secara bersama dengan Korea sebelum ini. Dan tidak hairanlah juga pasukan kebangsaan mereka sekarang mampu bersaing di peringkat kelayakan Piala Dunia.
Malaysia wajar memperbaiki mutu Liga tempatan yang dikendalikan sekarang.
Menswastakan pengurusan Liga adalah salah satu caranya, tapi ia masih memerlukan perancangan terperinci, bukan setakat di peringkat pengurusan eksekutif, tapi juga termasuk hal-hal yang berkaitan dengan kemampuan dan kekuatan pasukan yang bakal menyertai Liga berkenaan.
Sebelum Malaysia meneruskan hasrat untuk membida menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2034, perbaiki dulu status Liga tempatan di mata dunia.
Tahniah J-League kerana menerima pengiktirafan Liga berstatus A daripada AFC. Malaysia bila lagi?
Amierul Hisham #AH67
0 comments :
Post a Comment
TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.