MUKA baharu, Mohd. Nizad Ayub ternyata cukup teruja apabila dipanggil memperkuatkan cabaran skuad Harimau Malaya kali ini.
Selepas diberi kepercayaan kali pertama membarisi Harimau Malaya ketika menentang kelab Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan Selasa lalu, penyerang PKNS Selangor itu kini memasang hajat lebih besar.
Berbekalkan semangat serta keinginan yang tinggi, Nizad mengakui, dia sudah bersedia jika jurulatih, Datuk K. Rajagobal menurunkannya ketika Harimau Malaya melayan kunjungan Chelsea di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
“Sia tidak mahu diturunkan ketika menentang Chelsea nanti. Namun, semua itu terserah kepada jurulatih (Rajagobal) untuk menentukannya.
“Sebagai seorang pemain, saya harus bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan yang cukup besar itu.
“Jika diberi peluang oleh jurulatih, saya akan membalas kepercayaan yang diberikannya itu,” kata Nizad ketika ditemui pemberita pada sesi latihan Harimau Malaya di Gimnasium Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Menurut Nizad, selain tidak mempunyai masalah jika digandingkan dengan bekas rakan sepasukannya di Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, dia juga bersedia beraksi dengan mana-mana penyerang Harimau Malaya.
“Siapa saja yang diturunkan sebagai penyerang nanti sudah pasti akan memberikan aksi terbaik.
“Saya bersedia untuk beraksi menentang Chelsea dan tidak kisah siapa yang akan bergandingan dengan saya jika saya mendapat kepercayaan diturunkan nanti,” jelasnya.
Bagaimanapun, Nizad, 25, menyedari tugas sukar menanti barisan serangan Harimau Malaya bagi menggempur kubu The Blues yang dijangka diketuai tonggak pertahanan kental, John Terry serta penjaga gol berpengalaman, Petr Cech.
“Saya dan rakan-rakan perlu mengikut setiap arahan yang direncanakan oleh jurulatih. Kami tidak perlu terlalu menghormati Chelsea bagi mengelak kami hilang fokus.
“Secara peribadi saya yakin kami mampu menyaingi mereka dan kami perlu bermain sebagai satu pasukan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Chelsea di Stadium Shah Alam pada pukul 9.45 malam.
KOSMO
0 comments :
Post a Comment
TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.