Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Salah faham!

Piya lapor diri di Wisma FAM, semalam buat meleraikan segala teka-teki


Kelana Jaya: Kemunculan Badhri Radzi melaporkan diri, petang semalam akhirnya menamatkan segala isu kegagalan kapten Kelantan itu hadir ke kem latihan skuad kebangsaan sejak Khamis lalu. 

Badhri, 31, atau lebih dikenali sebagai Piya menganggap segala yang berlaku itu sebagai salah faham dan berharap kehadiran di Wisma FAM, Kelana Jaya dapat menyelesaikan segala kekusutan. 

Rasa kecewa memang ada kerana dibelenggu masalah kecederaan sekali lagi. Siapa yang tidak mahu menyarung jersi skuad kebangsaan. Insya-Allah kalau dipanggil lagi selepas ini, saya akan buat yang terbaik” Badhri Radzi Kapten Kelantan

“Selepas apa yang berlaku, saya ambil inisiatif untuk datang juga ke sini bagi menyerahkan jawapan kepada surat tunjuk sebab dan melakukan pemeriksaan bersama fisioterapi dan doktor FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

Piya akur kecewa

“Rasa kecewa memang ada kerana dibelenggu masalah kecederaan sekali lagi. Siapa yang tidak mahu menyarung jersi skuad kebangsaan. Insya-Allah kalau dipanggil lagi selepas ini, saya akan buat yang terbaik,” kata Badhri ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.

Sebelum ini, pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, tindakan tegas menanti pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2013 itu kerana gagal melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Khamis lalu. 

Piya bagaimana pun berkata, dia mengalami kecederaan hamstring dan sudah memaklumkannya kepada penolong jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. 

Mengenai perkembangan kecederaan hamstring yang dialaminya itu, Badhri berkata: “Kalau nak lakukan pecutan, memang rasa sakit. “Jadi nak beri seratus peratus untuk latihan, memang tak dapat. Saya perlukan masa untuk pulih sepenuhnya menjelang Piala Malaysia.” 

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal membayangkan bahawa Badhri tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin ekoran tindakannya lewat tiga hari melapor diri ke kem latihan pusat.

“Tidak... Dia (Badhri) sudah pun lapor diri dan kita akan lihat jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakannya itu. Fisioterapi dan doktor FAM akan lihat tahap kecederaannya. Seperti Azammuddin Akil yang lapor diri, kemudian kita dapati kemungkinan lima minggu baru dia pulih dan kita hantar dia pulang.

“Sama juga untuk Badhri, kita akan tengok jika dia tak boleh pulih dalam masa tertentu, mungkin dia juga akan dihantar pulang. Kita akan tengok dulu dan kemudian buat keputusan terbaik,” kata Rajagobal ketika ditemui, petang semalam.

Wan Fakhrul Bakar
Berita Harian

Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015