Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Semua mesti isytihar harta



DEMI memastikan gejala rasuah menular dalam liga tempatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam memutuskan untuk mewajibkan semua pemain dan pegawai pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mengisi borang pengisytiharan harta mulai musim depan.

Setiuasaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, borang pengisytiharan harta itu akan dikemas kini menerusi sistem dalam talian pendaftaran pemain Liga-M musim 2014.

"Kita rasakan perlu untuk wajibkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini selepas mendapat cadangan dan sokongan daripada Jawatankuasa Integriti FAM.

“Sama ada pemain atau pegawai itu ikhlas ketika mengisi borang mereka, itu kita akan pantau dan buat susulan dari semasa ke semasa," jelas Hamidin.

Beliau juga berkata, ia sejajar dengan usaha FAM yang mahu memperkasakan nilai-nilai integriti di kalangan mereka yang terlibat dalam liga tempatan.

"FAM juga merasakan perlu dilaksanakan sekarang setelah Jawatankuasa Integriti FAM sendiri mengesyorkan borang pengisytiharan harta pemain, pegawai pasukan dan pemain import dalam liga tempatan.

"Kita juga akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan pengisytiharan harta itu benar-benar tulen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat di sini, semalam.

Hamidin berkata, borang pengisytiharan harta itu dijamin sesuai dengan keperluan seorang pemain, pegawai pasukan dan pemain import yang terlibat.

"Jawatankuasa Integriti FAM telah memperhalusi dan mempermudah borang itu agar ia tidak dilihat membebankan mereka yang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Aseh berkata, lima persatuan bola sepak (FA) negeri yang telah mewujudkan Jawatankuasa Integriti masing-masing adalah Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang dan Sabah.

Beliau menambah, FA negeri yang lain masih lagi membisu sehingga kini berhubung saranan FAM dalam memartabatkan industri bola sepak negara itu.

"Lima negeri yang sudah menubuhkannya ialah Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Sabah. Kita pandang serius terhadap FA negeri lain yang belum menubuhkannya.

"Sehubungan itu, kita akan hantar surat dalam minggu ini dan tengok dahulu maklum balas serta komitmen FA negeri dan selepas itu mungkin kita akan tetapkan tarikh," katanya.

SINAR HARIAN
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015