Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Tubuh entiti kendali liga - Tan Sri Annuar



“Wujudkan segera satu entiti sah bagi mengendalikan liga.” 

Itu saranan Tan Sri Annuar Musa terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seharusnya tidak mengambil masa terlalu lama untuk meningkatkan taraf Liga Malaysia (Liga-M).

“Keadaan akan nampak buruk apabila FAM tidak mempercepatkan kewujudan entiti berkenaan kerana kebanyakan duit tajaan digunakan oleh badan induk bola sepak negara. Hak yang dijual kepada penaja adalah milik liga berkenaan namun tidak sampai separuh hasilnya kembali ke liga itu sendiri. FAM sebaliknya menggunakannya untuk menanggung perkara lain yang tidak berkaitan dengan liga,” katanya.

Liga-M memperoleh pendapatan RM30 juta setahun hasil penajaan sebuah syarikat penyiaran, Astro selama empat tahun bermula 2011 hingga 2014.

“Perkara ini sepatutnya sudah lama dilakukan, tidak perlu menunggu 2015 (seperti diumumkan FAM). Lakukan sekarang kerana liga boleh berjalan seperti biasa, saya lihat tiada sebarang gangguan.

“Bagi saya tidak timbul isu penswastaan kerana FAM juga boleh memegang kepentingan 20 atau 30 peratus dalam entiti berkenaan. Soalnya sekarang FAM perlu membentuk sebuah entiti untuk menguruskan liga seperti Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) yang pernah diwujudkan dulu.

“Malah pemegang jawatan di dalam FAM sewajarnya tidak menjanjikan sesuatu yang mahu dilakukan pada 2015 kerana mandat mereka hanya sampai tahun depan,” tambahnya.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, badan induk itu bakal melaksanakan liga profesional pada 2015 dengan cadangan untuk menswastakannya.

Namun, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula dilaporkan berkata, adalah lebih baik ia dikorporatkan dulu iaitu pengurusannya akan membabitkan penggabungan pihak swasta dan FAM.

“Isunya bukannya diswastakan. FAM cuma perlu merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan selain mengambil contoh negara lain yang sudah melaksanakannya,” kata Annuar.

Menurutnya, kegagalan berkenaan adalah antara punca menyebabkan wakil Malaysia tidak dapat beraksi di Liga Juara-Juara Asia.

Jelas Annuar, sebelum beliau digantung, terdapat perancangan untuk meningkatkan nilai liga ke satu tahap yang lebih tinggi namun sehingga kini FAM tidak membuat sebarang tindakan ke arah itu.

“FAM menggunakan kaedah yang sama sejak 20 tahun lalu. Tiada peningkatan dalam sistem tiket, pendaftaran kelab penyokong dan sebagainya yang mampu meningkat nilai Liga-M,” tambahnya.

METRO
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015