Pemain paling senior skuad negara Mohd Amri Yahyah mengingatkan rakan sepasukan terutamanya pemain baru tidak gentar mempamerkan corak permainan sebenar apabila menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea FC, Ahad ini.
“Jangan takut dan jaga maruah negara,” itu peringatan pemain berusia 32 tahun itu yang tampil buat kali ketiga menentang kelab EPL seandainya diturunkan pengendali negara Datuk K Rajagobal menentang anak buah Jose Mourinho Malah ia bakal menjadi aksi kedua penyerang Selangor itu menentang Blues selepas turut berada dalam skuad kendalian Ong Kim Swee yang kecundang tipis 0-1 hasil sepakan percuma Didier Drogba pada aksi persahabatan dua tahun lalu.
“Kami perlu jaringkan gol kerana tanpanya, kita tidak boleh meraih kemenangan atau sesuatu yang positif. Paling penting kami perlu fokus sepenuhnya terhadap aksi 90 minit itu walaupun perlawanan berlangsung ketika Ramadan kerana ia bukan alasan untuk bermain sambil lewa,” katanya, dilihat antara pemain yang menyerlah ketika skuad negara terikat tanpa jaringan menentang kelab Thailand, Chonburi FC beberapa hari lalu.
Chelsea membuka aksi persahabatan pra musim Jelajah Asia dengan menewaskan Singha All Star 1-0 di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam kelmarin menerusi jaringan penalti Romelu Lukaku selepas Wallace Dos Santos dijatuhkan pada minit ke-33.
Amri mempunyai sejarah unik ketika menentang kelab EPL apabila pernah meledak dua gol sewaktu menentang Manchester United pada aksi persahabatan 2009 namun skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan 2-3.
Sementara itu pemain sayap Kelantan, Norfarhan Muhammad nyata teruja walaupun tampil buat kali pertama menentang kelab EPL.
“Andai diberikan peluang, saya akan bermain bersungguh-sungguh kerana saya yakin tidak mustahil untuk kami mencipta kejutan mencatatkan kemenangan,” katanya yang mempamerkan aksi konsisten bersama Kelantan hingga membantu pasukan itu muncul juara Piala FA musim ini.
Azlan Muhammad Zain
HARIAN METRO
0 comments :
Post a Comment
TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.