Mewujudkan pengadil profesional dan memberikan dana yang lebih tinggi kepada setiap persatuan bola sepak negeri, itu dua janji yang diberikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya dipilih menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2014-2018.
Selain itu, beliau berpandangan pengurusan FAM terlalu banyak kelemahan dan sudah tiba masanya, perkara itu diperbaiki dengan bertanding dalam pemilihan sempena Kongres FAM, 25 Mei ini.
Dalam masa sama, beliau bersedia melepaskan jawatan dalam Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dengan melantik Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar sebagai pengganti jika memenangi pertandingan jawatan Presiden FAM.
Saya bertanding bukannya bermaksud tidak menghormati Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah atau Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi kecewa dengan pengurusan yang ada di FAM sekarang.
Visi dan misi saya jika menjadi Presiden FAM adalah mewujudkan jawatan pengadil profesional dan sebagai badan induk bola sepak negara, kita mestilah bertindak sebagai penjaga liga kita dan bukannya bersikap seperti pemilik.
Persatuan-persatuan bola sepak negeri mestilah dijaga sepenuhnya dengan turut membantu dari segi kewangan, itulah tanggungjawab FAM sepatutnya.
Tiap-tiap persatuan bola sepak negeri saya akan berikan RM2 juta hingga RM3 juta sekiranya saya dipilih menjadi presiden, dengan itu mereka boleh membuat segala pertandingan yang lebih banyak di (peringkat) akar umbi," katanya dalam rancangan terbitan Astro Arena, Dengan Izin yang disiarkan secara langsung malam tadi.
GAMBAR: The Photoshooterz |
Beliau turut mengkritik mutu Liga Malaysia yang disifatkan masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain termasuk Singapura selain masih gagal menghantar wakil untuk beraksi dalam Liga Juara-juara Asia.
Saya masih kecewa kerana pasukan-pasukan liga tidak boleh bermain dalam Liga Juara-juara Asia dan liga kita masih Gred D sedangkan liga negara kita berpotensi jauh.
Singapura mempunyai gred lebih baik berbanding kita, sedangkan kita bukannya B atau C iaitu gred D sahaja, sesuatu perlu dilakukan dalam hal ini," katanya.
Menyentuh mengenai sebab yang membuatkan beliau tergerak hati untuk bertanding, Tunku Ismail berkata, semuanya kerana permintaan penyokong yang mahukan perubahan di dalam FAM.
Apa yang saya buat ini adalah dorongan daripada penyokong, ini adalah demi mereka kerana mereka yang mahukan saya membuat sesuatu perubahan di dalam FAM," katanya.
SUMBER: Utusan Malaysia/Sukan
0 comments :
Post a Comment
TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.