SETELAH terpalit dengan kontroversi sejak beberapa hari lalu, Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi akhirnya tampil melaporkan diri untuk bersama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.
Sambil menyifatkan kemelut yang berlaku berpunca daripada masalah komunikasi, Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, keputusan beliau untuk melaporkan diri bersama skuad kebangsaan itu dibuat tanpa desakan atau paksaan daripada mana-mana pihak.
“Tak ada apa-apa, ini salah faham di antara saya dengan pihak pengurusan sahaja. Kalau sudah diarahkan kena lapor diri juga, maka saya kena ikutlah prosedur ini. Lagi pun saya turut membawa bukti lengkap sebab saya gagal lapor diri pada Khamis lalu.
“Saya tak ada niat memperkecilkan tawaran bermain dengan skuad kebangsaan. Malah tohmahan mengatakan saya tidak berminat juga tidak benar. Saya akan berjumpa dengan pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal dan pengendali, Datuk K Rajagobal bagi menceritakan masalah sebenar," katanya.
Beliau yang ditemani Penolong Pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar dan Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Md Zuki Derahman berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, petang semalam.
Sinar Harian semalam melaporkan pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan itu bersedia menjawab surat tunjuk sebab kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan beliau melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad negara, pada Khamis lalu.
Hasil pemeriksaan kesihatan sebelum ini, Mohd Badhri dinasihatkan berehat untuk tempoh dua minggu akibat kecederaan pangkal paha dialaminya ketika perlawanan terakhir Liga Super, pertemuan Kelantan menentang Lions XII di Kota Bharu, pada 6 Julai lalu.
Menurut jeneral padang berusia 31 tahun itu, beliau akan mengemukakan jawapan balas surat tunjuk sebab, sijil cuti sakit dan laporan pemeriksaan kesihatan dan berharap pihak FAM dapat membuat pertimbangan sewajarnya bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
“Pada ketika karier saya kini sampai ke penghujung, sudah pasti saya tidak mahu rekod bersih tercemar dengan perkara seperti ini. Saya harap pihak pengurusan skuad kebangsaan tidak mengenakan apa-apa tindakan ke atas saya,’ katanya.
Ketika ditanya mengenai kesediaan Mohd Badhri memikul tanggungjawab mengetuai jentera tengah Harimau Malaya, perancang tengah Kelantan dalam nada yakin memberitahu beliau tidak ada masalah menggalas tugas itu meskipun dibayangi kontroversi ketika ini.
SINAR HARIAN
0 comments :
Post a Comment
TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.