Berita Terkini :

LATEST UPDATES

Piya tiada niat ingkar



KOTA BHARU - Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi mengakui wujud salah faham berhubung isu kegagalannya melaporkan diri bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sejak Khamis lalu.

Bagi merungkai segala permasalahan yang timbul berhubung isu berkenaan, Mohd. Badhri atau Piya mengambil keputusan melapor diri ke kem pasukan kebangsaan semalam, bersama surat tunjuk sebab serta laporan perubatannya.

Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai mana yang diarahkan sebelum ini.

"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melapor diri ke kem latihan pasukan bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih dan pasukan.

"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini semalam.

Turut mengiringi Piya ketika di LTSIP ialah Penolong Pengurus The Red Warriors, Wan Badri Wan Omar serta pegawai media Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Mohd. Zuki Abdul Rahman.

Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, di sini berharap, keputusannya melapor diri menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad negara.

Kelmarin, Piya memberitahu dia bersedia menjawab surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melaporkan diri dalam latihan skuad kebangsaan.

Hasil pemeriksaan kesihatan yang dibuat sebelum ini, doktor mengesahkan pemain tonggak The Red Warriors itu mengalami kecederaan otot paha (hamstring) dan menasihatkannya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan.

Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah Harimau Malaysia, perancang tengah itu dengan nada tegas memberitahu, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk memerah keringat.

Kata Piya, berdasarkan prestasi semasa, dia bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.

"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.

"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain akan memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," katanya.

YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Share this Article on :

0 comments :

Post a Comment

TRWTV tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

 
© Copyright TRW MEDIA 2010 -2011 | By GEGAR 2015